KUALA LUMPUR, 12 Mac- Permodalan Nasional Berhad (PNB) menjelaskan, pelaburan Malaysia Development Holdings kepada Sapura Energy Berhad (SEB) bukan 'bailout' sebaliknya demi kelangsungan ekosistem minyak dan gas negara.
PNB yang juga selaku pemegang saham utama SEB dalam satu kenyataan memaklumkan, dana pelaburan itu digunakan secara eksklusif untuk membayar pembekal tempatan.
"Dana ini digunakan secara langsung dan hanya untuk membayar pembekal tempatan, tanpa memberi manfaat kepada mana-mana pemegang saham SEB atau pemiutang kewangan yang sedia ada.
"Pembiayaan ini penting untuk kelangsungan kewangan penyedia perkhidmatan Malaysia dalam ekosistem minyak dan gas memandangkan SEB mempunyai lebih daripada 2,000 vendor, kebanyakannya adalah PKS serta menggaji kira-kira 59,000 pekerja teras dalam industri minyak dan gas," menurut kenyataan itu.
Selain itu ia juga sebagai memelihara industri minyak dan gas Malaysia dengan menyokong perniagaan tempatan serta mengekalkan integriti rantaian bekalan dalam memastikan kestabilan termasuk kemajuan keseluruhan rantaian nilai industri tersebut di Malaysia.
"Memelihara SEB dan ekosistem minyak dan gas yang lebih luas adalah penting untuk kesinambungan projek yang menyumbang kepada hasil dan jaminan tenaga negara," tambah kenyataan itu.
Dalam pada itu ia juga menggalakkan pertumbuhan ekonomi secara positif dalam memastikan kerja berkaitan minyak dan gas negara terus dilakukan rakyat Malaysia.
Sehubungan itu ia memberi manfaat kepada pendapatan negara kasar (GNI) Malaysia sebanyak RM1.1 bilion dan memberi kesan positif kepada kadar pertukaran mata wang Malaysia.
"Tanpa SEB dan vendor tempatan, kerja tersebut perlu disumberluarkan kepada penyedia asing dan bukan Malaysia, mengakibatkan pembayaran mengalir keluar dari Malaysia," menurut PNB.
Pelaburan berkenaan juga memudahkan penyelesaian penstrukturan korporat dan hutang terbesar di Malaysia melibatkan beberapa bank terbesar.
Kenyataan itu juga memaklumkan pelaburan dilakukan selaras dengan amalan terbaik penstrukturan global disokong proses ketekunan wajar dan semakan.
Pada masa sama pelaburan adalah konsisten seperti yang dilakukan negara lain untuk memudahkan penstrukturan pemain industri kritikal dalam memelihara industri strategik.
Pelaburan oleh MDH boleh dibayar balik menerusi keuntungan tetap dan boleh ditebus dengan opsyen untuk menikmati kenaikan melalui penukaran kepada saham sekiranya harga saham SEB meningkat pada masa depan.
Pelaburan MDH membuka ruang penyelesaian dalam usaha penstrukturan kewangan kepada SEB untuk mendapatkan semula kedudukan kewangan kukuh dan pemulihan.
"Syarikat tersebut komited untuk membalas kepercayaan ini dengan terus melaksanakan rancangan perniagaan dan penstrukturan syarikat, memberi tumpuan kepada penciptaan nilai jangka panjang dan ketahanan operasi serta memainkan peranan berterusan sebagai pemangkin untuk industri perkhidmatan minyak dan gas tempatan," menurut kenyataan itu.