KUALA LUMPUR, 12 Mac- Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan internet dan media sosial bagi memastikan keselamatan di platform media sosial.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, sebanyak 10,167 akaun palsu dan 130 kandungan berunsur fitnah telah diturunkan oleh penyedia perkhidmatan sejak tahun 2022 hingga 1 Mac lalu.
Empat laman sesawang berunsur hasutan dan satu laman sesawang fitnah telah dikenakan sekatan.
"Bagi isu berkaitan 3R, sebanyak 6,911 kandungan jelik berkaitan isu 3R telah dikenakan tindakan penurunan. Penguatkuasaan pula 196 kes 3R disiasat.
"Daripada jumlah tersebut, sembilan kes didakwa oleh Jabatan Peguam Negara dan empat kes dikenakan hukuman daripada pihak mahkamah.
"Langkah ini diambil oleh MCMC bagi memastikan ekosistem rangkaian internet selamat dan lestari kepada semua pengguna khasnya kepada keluarga dan kanak-kanak," katanya.
Katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Negara hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata industri perfileman Malaysia mencatat kejayaan besar.
Dua daripada lapan filem yang diterbitkan produksi tempatan untuk tayangan Tahun Baharu Cina, mencatat kutipan filem pecah panggung tertinggi.
Filem 'Close Your Kopitiam' mencatat kutipan RM12.7 juta dan 'Money Games' merekod kutipan hampir RM10 juta.
Jelasnya, kejayaan itu bukti sokongan penonton terhadap karya tempatan, sekali gus memberi impak positif kepada industri perfileman negara.