SUNGAI PETANI, 5 November- Penubuhan Pusat Koreksional Komuniti (PKK) yang julung kalinya diperkenalkan di negara, dapat mengoptimumkan kos operasi jabatan dan membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, Jabatan Penjara Malaysia (PENJARA) telah mengambil inisiatif untuk merealisasikan penubuhan PKK dengan sebahagian daripada penempatan menyasarkan pelaksanaan program-program pemulihan lanjutan di luar tembok bersama komuniti dan dikhaskan sebagai kategori penempatan Orang Diselia (ODS).
Katanya, penyediaan penempatan akan diuruskan oleh syarikat tanpa melibatkan sebarang kos kepada kerajaan dengan penempatan berkapasiti tinggi, lengkap dengan kemudahan asas dan sistem keselamatan yang telah ditetapkan oleh PENJARA.
"Jadi, bila mereka bekerja penginapan disediakan oleh syarikat mereka, juga dibayar elaun melebihi gaji minimum. Ada yang terima RM1,500 ada yang terima RM2,000.
Jadi, walau hakikat orang menjalani hukuman tetapi kerana ada program koreksional komuniti ini, maka mereka berpeluang untuk bekerja diluar, dalam tempoh hukuman," kata Saifuddin kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Koreksional Komuniti Sungai Petani.
Tambahnya, usaha itu merupakan satu petanda positif bahawa penerimaan ODS ke dalam masyarakat mendapat perhatian dan juga bantuan dari pihak syarikat program pemulihan dan kerjasama pihak swasta.
Program Reintegrasi Penghuni memberi impak yang besar terhadap pemulihan ODS yang berpeluang memperolehi kemahiran dalam pelbagai bidang pekerjaan melalui latihan teori dan amali yang disediakan oleh pihak swasta serta pemberian sijil kemahiran.
Beliau juga menyatakan landskap pemulihan banduan telah banyak berubah di mana penglibatan masyarakat menjadi penyumbang terpenting dalam menentukan kejayaan program-program pemulihan.
Menerusi Belanjawan 2024 yang telah dibentang, perdana menteri telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi melaksanakan Program Peluang Kedua Anda (PEKA) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi menyediakan latihan kompetensi yang diakreditasi oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) kepada para banduan pada tahun hadapan.