fb fb fb fb fb

AMK cadang tubuh pasukan khas pantau isu 3R

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli Abdul Halim

IPOH, 5 November- Angkatan Muda Keadilan (AMK) bercadang untuk menubuhkan satu pasukan khas bagi memantau isu berkaitan 3R (agama, raja dan kaum) terutama melibatkan politik.

Ketua AMK, Adam Adli Abdul Halim berkata, penubuhannya bagi membolehkan masyarakat mendapat panduan dalam berhadapan dengan isu berkaitan 3R.

Beliau berkata cadangan menubuhkan pasukan khas itu juga bagi menjawab segala tuduhan yang dibangkitkan terhadap parti itu.

"Respons, maksudnya kita bukan polis, kita bukan SKMM, tapi kita ada kawan-kawan yang menggunakan media sosial. Jadi kalau ada orang yang buat dalam media sosial buat tohmahan, buat dakwaan, gunakan isu perkauman biarlah ada counter narrative dan counter narrative ini yang seharusnya digerakkan dan inilah antara perkara-perkara yang boleh dibuat menerusi unit-unit sebegini", katanya kepada media selepas menghadiri Konvensyen Angkatan Muda Keadilan (AMK) zon Tengah di Ipoh.

Konvensyen itu merupakan yang ke-5 diadakan selepas penganjuran di Sabah, Pahang, Pulau Pinang dan Melaka.

Antara yang dibincangkan meliputi isu politik, kesihatan, pendidikan, belia dan sukan serta ekonomi.

ROSLINA BINTI DIN