fb fb fb fb fb

Penternak lembu ditahan bersama sepucuk pistol, 600 pil yaba

KOTA BHARU, 12 Mac - Seorang penternak lembu ditahan kerana memiliki dadah dan sepucuk pistol, Khamis lalu.

Suspek lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di sebuah bangsal di Taman Desa Rahmat, di sini pada pukul 9.48 malam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata hasil pemeriksaan pihaknya menemui tiga plastik berwarna biru gelap berisi 600 biji pil berwarna merah dan hijau yang disyaki dadah jenis pil yaba.

(Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun)

"Sepucuk pistol semi automatik bersama kelopak mengandungi sembilan butir peluru hidup turut ditemui bersama suspek.

"Saya percaya ada rangkaian lainlah tapi dengan pemilikan senjata api boleh dikatakan terlibat secara langsung dengan sindiket pengedaran dan peranannya kita akan pastikan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini.

Tambah Zaki, turut disita sebuah kenderaan pacuan empat roda dan motosikal dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM83,000.

"Hasil siasatan awal suspek mempunyai dua rekod lampau iaitu melibatkan kes Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Beliau berkata, kes tersebut akan disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Media Baharu