PUTRAJAYA, 12 Mac - Klinik perubatan am swasta (GP) serta doktor kontrak digalakkan untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi program lanjutan waktu operasi di 52 klinik kesihatan terpilih.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata jalinan kerjasama itu secara tidak langsung membantu pihaknya mengurangkan beban tugas petugas kesihatan, sekali gus memberikan perkhidmatan terbaik.
"Lanjutan operasi klinik kesihatan ini masih di peringkat audit dan ia sudah hampir selesai. Lanjutan operasi ini bukan diadakan di semua klinik, ia hanya kepada klinik yang menyediakan perkhidmatan kepada hospital dan tindakan itu dapat mengurangkan kesesakan di hospital.
"Setakat ini kita sudah kenal pasti 52 klinik kesihatan yang memerlukan lanjutan operasi. Malah KKM juga akan mengambil inisiatif bagi mengenal pasti sumber manusia bagaimana ia boleh membantu lanjutan program ini," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Selangor, di sini.
Januari lalu, ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 KKM, Dr Zaliha memaklumkan operasi klinik kesihatan akan dilanjutkan bagi menangani masalah kesesakan di jabatan kecemasan hospital.
Beliau memaklumkan Pengarah Kesihatan Negeri sudah diarahkan meneliti semula keperluan klinik kesihatan di bawah seliaan masing-masing, untuk beroperasi lebih masa.
Katanya, isu kesesakan dikesan berlaku di kawasan bandar, berikutan jumlah populasi yang semakin meningkat, serta kecenderungan pelanggan mendapatkan perkhidmatan di hospital dan klinik KKM.