PETALING JAYA, 12 Mac - Isu penempatan setinggan yang membelenggu 249 keluarga di Kampung Dato Harun, Petaling Jaya sejak 15 tahun lalu akhirnya selesai.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata keluarga terlibat yang terdiri daripada peneroka memperoleh kediaman menerusi Skim Smart Sewa hasil penyelesaian menang-menang bersama pemaju.

"Mereka akan diberikan tawaran pemilikan rumah dan konsepnya adalah sewa milik maknanya ini adalah kaedah sewaan dan pemilikan baru atau berkenaan sewa untuk dimiliki saya telah umumkan sebenarnya pada tahun 2021 lagi baru sekarang kita dapat rialisasikan hasil kerjasama dengan pemaju yang terbabit," katanya pada sidang media selepas merasmikan Jelajah Kita Selangor Penyayang peringkat daerah Petaling, di sini.
Skim Smart Sewa To Ownership (2STAY) diperkenal Kerajaan Selangor pada 2016 bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) memiliki kediaman sendiri pada harga kurang RM200,000.
Skim dua fasa itu meliputi Smart Sewa dengan tempoh sewa minimum dua hingga lima tahun dan tempoh pemilikan di bawah sewa untuk dimiliki.
Penyewa yang membeli kediaman tersebut menerima 30 peratus bayaran sewa terkumpul dan dijadikan wang pendahuluan serta baki perlu dijelaskan secara ansuran.