fb fb fb fb fb

KSM yakin kos pengambilan PDI dapat dikurangkan

(FOTO HIASAN)

BAYAN LEPAS, 12 Mac - Kos pengambilan pekerja domestik Indonesia (PDI) diyakini dapat dikurangkan bulan ini.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata ia selepas beberapa sesi rundingan serta mesyuarat yang telah diadakan antara wakil kedua-dua negara termasuk Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama Malaysia-Indonesia bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Katanya, Menteri Tenaga Kerja republik itu, Ida Fauziyah dijadual akan melawat Malaysia pada pertengahan Mac untuk membincangkan perkara tersebut.

(Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar / FOTO FAIL)

“Terdapat peluang yang baik untuk mencapai keputusan jika kita dapat mengurangkan kos ke tahap yang lebih rendah, yang menjadi aspirasi dan matlamat kerajaan. Harap-harap kita boleh buat pada mesyuarat itu nanti," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman Persidangan dan Pameran Modal Insan Nasional (NHCCE) 2023 Wilayah Utara di Pusat Konvensyen Setia (SPICE), di sini.

Ketika ini, kos pengambilan pekerja domestik Indonesia adalah dalam sekitar RM15,000 dan kos berlaku kerana sebahagian besar merupakan kos di negara sumber sendiri.

Setakat 22 Januari lepas, terdapat 399,827 warga Indonesia bekerja di Malaysia dalam sektor perkilangan, pembinaan, perladangan, perkhidmatan, pertanian, pembantu rumah asing, perlombongan dan pengkuarian.

Daripada jumlah tersebut, 63,323 bekerja sebagai pembantu rumah asing dan warga Indonesia mewakili jumlah terbesar dalam sektor domestik di Malaysia.

Media Baharu