JOHOR BAHRU, 12 Mac - Satu mesyuarat jawatankuasa pasukan khas peringkat negeri Johor akan diadakan esok bagi membincangkan masalah telekomunikasi di negeri itu.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata mesyuarat yang melibatkan barisan exco negeri itu akan mengenal pasti isu–isu yang menyumbang kepada masalah tersebut terutama berkaitan birokrasi.

Beliau berkata, usaha tersebut merupakan satu perkembangan positif bagi membentuk kerjasama lebih erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Antara isu yang menyumbang kepada masalah telekomunikasi di negeri ialah berkaitan permit dan kelulusan tanah bagi pemasangan menara telekomunikasi.
"Dalam kita berusaha untuk menyelesaikan masalah telekomunikasi di Johor, harapan saya langkah yang dimulakan ini akan dapat menyelesaikan terutama isu birokrasi dan saya juga berharap ini dapat kita ambil sebagai satu kerangka yang boleh kita bawa ke negeri negeri lain," katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Townhall bersama agensi KKD, di sini.
Tambah Fahmi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut giat mengadakan pertemuan bersama semua syarikat telekomunikasi negara sebagai usaha menyelesaikan isu perkongsian rangkaian, menjelang Jun ini.