fb fb fb fb fb

Kerja pasca banjir di 17 sekolah terjejas dipercepat

(FOTO FAIL)

KOTA TINGGI, 12 Mac - Kerja-kerja pasca banjir terhadap 17 sekolah terjejas di Johor akan dipercepatkan agar sesi persekolahan bagi kalendar akademik 2023/2024 yang dijadual pada 19 Mac ini dapat dijalankan seperti biasa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata koordinasi antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan agensi lain sama ada Persekutuan dan daerah akan dilakukan supaya kerja-kerja pascabanjir dilakukan segera sekali gus memastikan pelajar dapat meneruskan sesi persekolahan dalam suasana yang lebih kondusif.

(Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi)

"Bagi 17 sekolah ini, biarpun ia hanya guna premis-premis sementara di sekolah tetapi koordinasi akan dilakukan tentunya dengan NADMA, APM dan beberapa agensi lain bersama-sama dengan JPBN dan daerah.

"Paling penting, pelajar boleh terus belajar, walaupun mungkin tidak terlalu kondusif keadaannya, tetapi kita akan ikhtiar supaya dapat diselesaikan segera mungkin,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) di Ibu Pejabat KEJORA, di sini.

Pada 6 Mac lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan tiada penangguhan sesi persekolahan bagi kalendar akademik 2023/2024 yang dijadual pada 19 dan 20 Mac ini di negeri yang terjejas banjir.

Media Baharu