IPOH, 26 Mei- Penternak di Perak disarankan agar menyimpan haiwan ternakan masing-masing di padang ragut yang disediakan oleh kerajaan negeri bagi mengelakkan haiwan tersebut daripada berkeliaran di jalan raya, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan yang membahayakan pengguna jalan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menambah bilangan padang ragut buat masa ini, memandangkan tidak semua tanah di kawasan kampung telah diwartakan sebagai rizab padang ragut.
"Sebab itu kita mohon sangat-sangat kepada penternak-penternak ini supaya mereka meletak atau menyimpan ternakan masing-masing di padang ragut yang disediakan.
"Kawasan itu tidak dapat kita sediakan bagi tiap-tiap kampung, bukan semua kampung ada tanah kerajaan untuk diwartakan sebagai padang ragut. Oleh sebab itu, kita sediakan padang ragut di satu tempat dengan harapan penternak-penternak akan menyimpan di kawasan tersebut", katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan 2025 di Ipoh.
Setakat ini, terdapat 83 padang ragut di Perak digunakan oleh 1,134 penternak.