fb fb fb fb fb

Permintaan tenaga ASEAN dijangka meningkat 60 peratus menjelang 2040 – TPM Fadillah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Kadar permintaan tenaga di rantau ASEAN kini meningkat pada purata tiga peratus setahun dan dijangka melonjak sehingga 60 peratus menjelang tahun 2040, selaras dengan pertumbuhan ekonomi dan keperluan pembangunan serantau.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata keperluan peralihan tenaga di rantau ini perlu dilaksanakan secara praktikal, terurus dan inklusif bagi memastikan manfaat bersama, sejajar dengan matlamat iklim dan permintaan yang semakin meningkat.

"Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia komited sepenuhnya untuk menggalakkan dialog, membina konsensus, dan memajukan kerangka serantau yang akan menyokong masa depan tenaga yang lebih bersih, lebih selamat dan lebih inklusif.

"Sektor tenaga kini sedang mengalami transformasi yang ketara di peringkat global, serantau dan dalam sempadan negara kita sendiri. Adalah amat penting bagi kita untuk memastikan bahawa peralihan ini dilaksanakan secara kolektif, adil dan saksama, demi memenuhi keperluan rakyat, meningkatkan daya ketahanan, serta memupuk pertumbuhan yang mampan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Mesyuarat Peralihan Tenaga ASEAN: Memperkukuh Kerjasama Serantau yang berlangsung di ibu negara.

Mengulas kemajuan semasa, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata ASEAN kini telah mencapai 34 peratus kapasiti penjanaan elektrik melalui sumber boleh diperbaharui di bawah Pelan Tindakan ASEAN bagi Kerjasama Tenaga (APAEC) Fasa II, namun hanya 16 peratus daripada keseluruhan bekalan tenaga datang daripada sumber tersebut.

"Vietnam telah berkembang pesat dalam kapasiti solarnya dengan penambahan melebihi 20 GW sejak tahun 2019. Indonesia pula sedang melaksanakan Perkongsian Peralihan Tenaga yang Adil (JETP) untuk beralih kepada sumber tenaga yang lebih bersih dengan sokongan sekurang-kurangnya USD 20 bilion.

"Thailand telah mengamalkan model Ekonomi Bio-Pekeliling-Hijau bagi menyelaraskan kelestarian dengan produktiviti," katanya.

Sementara itu, Malaysia menetapkan sasaran untuk mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050 melalui pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN