fb fb fb fb fb

Banjir: 29 PPS masih beroperasi di Perak

Foto RTM

IPOH, 26 Oktober - Seramai 2,644 penduduk terkesan banjir di negeri ini masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pukul 12 tengah hari.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak menerusi kenyataan memaklumkan, 29 PPS masih dibuka melibatkan lima daerah yang menempatkan 892 keluarga.

"Larut, Matang dan Selama kekal daerah paling terjejas dengan 1,811 penduduk daripada 615 keluarga berlindung di 19 PPS. Di Manjung pula, 566 penduduk daripada 188 keluarga ditempatkan di lima PPS.

"Sementara di Kerian, 136 penduduk daripada 54 keluarga dipindahkan ke tiga PPS yang masih dibuka manakala masing-masing satu PPS dibuka di Perak Tengah dan Hilir Perak," jelas kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri memaklumkan Kolam Air Bukit Merah masih berada di paras bahaya iaitu pada bacaan 8.89 meter.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN