fb fb fb fb fb

Lelaki maut kemalangan di LPT2

Foto Ihsan Bomba

KEMAMAN, 26 Oktober – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbalik dalam satu kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2) pagi tadi.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi di kilometer 260.1 berhampiran susur keluar Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Jabor, Perasing di sini.

Mangsa, Muhammad Amirul Rizuan Azmi, 23 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
 
Ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah Kuantan, Pahang menuju ke arah Kuala Terengganu.
 
Mangsa yang memandu kereta di laluan lurus dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di kiri lebuh raya.
 
Akibat pelanggaran kuat itu, kereta mangsa terbalik di tengah lebuh raya menyebabkan mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.
 
Mayat mangsa kemudian berjaya dikeluarkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Ceneh Baru dengan menggunakan peralatan khas dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
 
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan insiden berkenaan.
 
Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Trainee