PORT DICKSON, 26 Oktober – Festival Ghontak Nogoghi (FGN) 2025 berjaya menarik lebih 100,000 pengunjung, sekali gus menunjukkan sambutan luar biasa terhadap program pelancongan budaya berasaskan adat tempatan Negeri Sembilan.
Berlangsung selama tiga hari di Pantai Batu 1, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan penganjuran festival itu bukan sahaja memperkukuh warisan adat perpatih dan budaya negeri, malah berpotensi besar menjadi tarikan pelancongan utama di rantau ini.
“Negeri Sembilan unik kerana satu-satunya negeri yang masih mengamalkan adat tempatan sehingga kini, dan saya yakin pelancongan berasaskan adat ini mampu menjadi tarikan baharu ke Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau turut mengumumkan bahawa Festival Ghontak Nogoghi akan diteruskan pada tahun hadapan bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris, berkata festival berkenaan merupakan antara program pelancongan budaya terbesar hasil kerjasama kerajaan negeri dan JKKN Malaysia.
“Festival Ghontak Nogoghi merupakan produk pelancongan budaya berasaskan seni tradisi tempatan. Tahun ini, kelainannya ialah pertandingan ‘lancang’ melibatkan lapan daerah, sekali gus memperlihatkan sambutan luar biasa daripada komuniti seni serta generasi muda,” katanya.
Menurut beliau, pertandingan “lancang” itu memperkenalkan semula adat lama meletakkan bunga telur di pelamin pengantin; tradisi yang semakin dilupakan, namun kini diangkat semula sebagai warisan yang wajar dipertahankan dan diperkenalkan kepada generasi baharu.
Tambahnya lagi, penglibatan pelbagai agensi kerajaan, komuniti tempatan dan usahawan kecil turut memberi impak ekonomi positif kepada masyarakat setempat.