AYER KEROH, 26 Mei - Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menerima penjenamaan baharu bersempena ulang tahun ke-20 penubuhannya.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penjenamaan itu merangkumi pelancaran logo baharu PPSPM serta pengeluaran syiling peringatan khas sebagai cenderamata.
Menurut beliau, meskipun PPSPM bermula sebagai sebuah entiti kecil dengan hanya dua buah bot, produk yang dikendalikan seperti Melaka River Cruise (MRC) kini berkembang pesat dan kekal sebagai antara tarikan utama pelancong.
Tambahnya lagi, PPSPM menyasarkan seramai sejuta pelancong menaiki Melaka River Cruise pada tahun ini.
"Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka, melalui Melaka River Cruise, meraikan ulang tahun ke-20 dengan pencapaian yang amat membanggakan."
"Dalam tempoh dua dekad ini, kita telah berjaya menarik lebih 15 juta pelancong untuk menikmati pengalaman menyusuri Sungai Melaka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mei 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.
Sempena dengan pencapaian tersebut, satu penjenamaan semula dilaksanakan, termasuk pelancaran logo baharu serta syiling peringatan bagi mengabadikan 20 tahun perkhidmatan Melaka River Cruise yang menjadi salah satu ikon pelancongan negeri Melaka.