TASEK GELUGOR, 26 Oktober - Penyelarasan bantuan kepada penduduk terjejas banjir di Pulau Pinang berada pada tahap terbaik.
Ia hasil kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, pengalaman berdepan bencana sebelum ini membantu memperkukuh pengurusan dan koordinasi di semua peringkat.
“Semua dalam keadaan terurus melibatkan pejabat daerah di kawasan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Barat Daya.
"Penyelarasan berjalan dengan baik kerana kita sudah pernah menghadapi situasi seperti ini, jadi ia bukan sesuatu yang baharu. Alhamdulillah, dalam tempoh tiga hari ini pengurusan berada dalam keadaan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyantuni penduduk terjejas banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Lahar Yooi.
PPS tersebut menempatkan seramai 377 individu daripada 106 keluarga.