Durian Tunggal, 26 Oktober - Kerajaan Negeri Melaka menerima sebanyak 220 aduan menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dun Durian Tunggal, yang dikumpulkan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Durian Tunggal.
Exco Kanan Kerajaan Negeri, Datuk Rais Yasin berkata, antara aduan diterima adalah hakisan di beberapa kawasan kampung di DUN tersebut termasuk masalah perparitan yang perlu dibaik pulih.
Katanya, fokus juga akan diberikan kepada masalah banjir yang sering berlaku di beberapa kawasan di kawasan berkenaan.
"Di mana seperti biasa WRUR, apa-apa isu jabatan yang berkenaan akan turun bersama dengan Exco yang terlibat dan kita perlu membuat permohonan bajet daripada Kerajaan Pusat.
"Kalau boleh diselesaikan di peringkat Kerajaan Negeri, kita akan selesaikan sendiri kerana banyak sungai-sungai dan taman-taman, jadi kalau taman di bawah PBT, kalau sungai atau parit di bawah JPS tidak kurang juga aduan yang melibatkan Pejabat Daerah sebab Durian Tunggal ini kawasan sering berlakunya banjir", katanya selepas Majlis Perasmian WRUR DUN Durian Tunggal dan Pesta Bendang Durian Tunggal, di sini, hari ini.
Sementara itu, seramai 10 Exco Kerajaan Negeri dilantik sebagai ‘bapa angkat’ kepada 10 kampung sempena Program WRUR.
Ia antara lain bagi membolehkan tindakan susulan terhadap aduan rakyat diselaras terus oleh Exco yang bertanggungjawab dalam portfolio masing-masing.