KUALA LUMPUR, 1 Julai- Jaminan penstrukturan semula pinjaman FELDA oleh kerajaan bukan sahaja memberi kesan positif kepada peneroka, malah demi kelangsungan agensi itu.
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Madya Dr Azmi Hassan berpandangan ia dapat menjadikan aliran tunai FELDA lebih baik.
"Maka segala pendapatan yang diperolehi itu bukan sahaja untuk membayar hutang Felda tetapi untuk disalurkan kepada peneroka Felda itu.
"Selain itu, jaminan penstrukturan ini juga akan membolehkan Felda mengurangkan hutang peneroka Felda itu sehingga 80 peratus," katanya kepada RTM.
(Prof Madya Dr Azmi Hassan)
Sementara itu, Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff menyifatkan segala kebajikan peneroka akan terjamin dengan adanya penstrukturan semula tersebut.
"Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana telah merealisasikan cadangan pemansuhan hutang ini.
"Kalau Felda tidak bernyawa peneroka tidak bernafas, jadi harap semua faham, jadi kita harap, kita sokong apa usaha kerajaan untuk membantu Felda," jelasnya.
(Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff)