fb fb fb fb fb

Penolong akauntan kanan mengaku tidak bersalah kes salah guna kuasa

KUALA TERENGGANU, 7 Jun- Seorang penolong akauntan kanan di Majlis Daerah Marang (MDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan salah guna kuasa bagi mendapatkan suapan kerja pemasangan karpet bernilai lebih RM10,000.

Tertuduh, Sazawati Salleh, 49 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya dengan mencadangkan sebut harga syarikat yang mempunyai kepentingan tidak langsung dengan suaminya

(Tertuduh hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan salah guna kuasa)

Ia bagi menjalankan kerja pemasangan karpet di ruang pejabat dan bilik pegawai bahagian kewangan MDM yang bernilai RM10,640.

Kesalahan itu dilakukan pada 12 Januari 2021 di bahagian kewangan MDM.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (akta 694)

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai yang lebih tinggi.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan menetapkan 17 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Husni Mubarak Ghazali.

Media Baharu