fb fb fb fb fb

Penjimatan RM9.7 juta bina jejambat Kota Bharu

TUMPAT, 26 Jun- Projek Jejambat dari arah Kota Bharu merentangi bulatan Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor bernilai RM97.6 juta mula dibuka hari ini.
 
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek yang mula dibina pada 19 Februari 2018 itu siap sepenuhnya pada 15 Jun lalu dengan penjimatan kos sebanyak RM7.9 juta berbanding kos asal iaitu lebih RM105 juta.

Dengan pembukaan jejambat itu, ia mampu menyuraikan trafik di jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor terutama di sekitar Bulatan Wakaf Bharu yang mengalami kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak serta ketika musim perayaan.

"Jadi apa yang dibuat adalah pembinaan jejambat jalan empat lorong dengan piawai Jabatan Kerja Raya (JKR) U5.

"Sepanjang 470 meter jejambat dan kelebaran dua jambatan sedia ada jambatan asal rel sepanjang 26.6 meter dan juga Jambatan Alor Kedemit sepanjang 25 meter," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pembinaan Jejambat Darah Arah Kota Bharu Merentangi Bulatan Wakaf Bharu Ke Pengkalan Kubor, di sini.

Nanta berkata, projek berkenaan juga meliputi skop menaik taraf bulatan Wakaf Bharu sedia ada kepada persimpangan lampu isyarat, pemasangan perabot jalan, pengambilan balik tanah dan kerja-kerja pengalihan utiliti.
 
Jejambat itu juga merupakan projek rintis bagi perlaksanaan projek jalan secara Building Information Modelling (BIM).
 
Kaedah tersebut mampu mengesan lebih awal isu percanggahan di antara reka bentuk dan pembinaan yang mampu mengelakkan kelewatan perlaksanaan projek dan juga menjimatkan kos.

(Alexander Nanta Linggi)

Media Baharu