fb fb fb fb fb

Penjenamaan semula Program Jualan Keluarga Malaysia

BERA, 27 Ogos - Program Jualan Keluarga Malaysia dijenamakan semula kepada Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM).

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob RM80 juta telah diperuntukkan melalui lima kementerian bagi melaksanakan inisiatif itu sehingga hujung tahun.

"Kerajaan memperluaskan dan menjenamakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) kepada Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) melibatkan 600 kawasan DUN seluruh negara dan 13 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan," Ismail berucap merasmikan Majlis penjenamaan semula Program Jualan Keluarga Malaysia kepada Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) di sini.

Program JMKM menjadi program yang dinantikan orang ramai bagi mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah.

Program yang berlangsung hari ini di beberapa negeri itu dilihat merekodkan sambutan meriah dari penduduk setempat sejak awal pagi.

Di Pahang, JMKM tersebut berlangsung selama tiga hari di Dataran Kerayong Bera, dan pengunjung yang ditemui menyifatkan penganjuran program membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan barangan keperluan harian.

"Saya datang ke mari untuk membeli barang yang terlampau murah sangat pada saya.Seperti sekarang ini harga gula dekat RM2.85, susu pun RM2 hampir RM3. Di sini kita dapat dengan haga RM2. Jadi memang bagus lah," kata Khairuldin Mon.

(Jualan di program JMKM)

" Hari ini saya beli macam-macam ada di sini, saya beli minyak, gula, milo, beras,ayam dengan harga yang lebih murah, boleh dikatakan 50 peratus lah dan semua barang-barang ni hanya boleh dapati di sini sahaja,"kata Nirhidayati Anua.

Bermula bulan ini, tujuh kawasan DUN di Kelantan akan mengadakan JMKM 2.0.

Hari ini dan esok, tiga kawasan mendahului senarai iaitu DUN di Kok Lanas di Ketereh, serta dua di Gua Musang iaitu DUN Nenggiri dan DUN Galas.

Ini diikuti dengan DUN Kelaboran, Tumpat, DUN Tanjung Mas Kota Bharu dan DUN Semerak pada 29 hingga 30 Ogos.

Bagi kawasan lain, JMKM akan dilaksana pada September ini di premis pasaraya yang bakal dimaklum dari semasa ke semasa.

Di Langkawi pula tiga premis mula terlibat menawarkan inisiatif berkenaan.

Jualan diadakan pada setiap Jumaat dan Sabtu dengan kelebihan tanpa pembelian maksimum kepada pelanggan.

Sekali gus, meringankan beban kos sara hidup ditanggung Keluarga Malaysia yang semakin meningkat.

Manakala di Kedah sebanyak 51 buah premis perniagaan terpilih akan menjayakan JMKM di setiap daerah di negeri itu.

Ia akan diadakan setiap Sabtu dan Ahad setiap minggu sehingga hujung tahun ini.

Media Baharu