fb fb fb fb fb

46,426 usahawan wanita ikuti Program Wanita Bangkit@KPWKM sejak 1 Sept lalu

SEPANG, 27 Ogos - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berjaya mengumpul 46,426 usahawan wanita bagi mengikuti Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM sejak dilancarkan pada 1 Sept lepas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata jumlah tersebut amat memberangsangkan terutamanya selepas peralihan negara daripada fasa pandemik ke endemik.

“Wanita Bangkit@KPWKM lahir daripada situasi pandemik COVID-19 yang memberi kesan kepada kehidupan masyarakat termasuk golongan wanita dalam pelbagai aspek terutamanya kewangan.

“Inisiatif ini selaras dengan aspirasi kerajaan iaitu dasar tiada sesiapa yang tertinggal dan untuk menyokong serta menjamin kehidupan golongan yang terjejas khususnya wanita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM di sini hari ini.

(Rina Mohd Harun merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan
Wanita Bangkit@KPWKM di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi/FOTO FB Rina Harun)

Menurutnya inisiatif itu yang diwujudkan bagi membantu wanita dalam menghadapi cabaran pascapandemik, dibahagikan kepada dua kaedah iaitu menerusi sektor formal dan tidak formal.

Rina turut menasihatkan golongan wanita agar sentiasa bersemangat dalam menempuhi pelbagai cabaran selain berani untuk berdikari mencari sumber pendapatan.

Mengenai Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM, Rina berkata lebih 15,000 peluang pekerjaan pelbagai sektor ditawarkan oleh kira-kira 40 majikan sepanjang program sehari itu.

Katanya karnival itu memberi fokus kepada aktiviti penjanaan pendapatan dengan menghubungkan wanita kepada platform yang menawarkan peluang pekerjaan, perniagaan atau keusahawan.

“KPWKM ingin membuka seluas-luasnya peluang kerjaya kepada semua lapisan masyarakat khususnya golongan wanita. Melalui karnival ini juga ada sesi perkongsian tips dan nasihat daripada usahawan berjaya,” katanya.

Rina berkata KPWKM menyasarkan 59 peratus penyertaan wanita dalam pasaran kerja menjelang 2025. - BERNAMA

Media Baharu