fb fb fb fb fb

Persembahan memukau Hari Kebangsaan 2022 menanti Keluarga Malaysia Rabu ini

(Sebahagian peserta dari Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan (JKKNS)
menjalani latihan dan persiapan akhir untuk persembahan sempena
sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 pada 31 Ogos ini, hari ini/FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 27 Ogos - Penantian dua tahun Keluarga Malaysia untuk beramai-ramai hadir ke acara sambutan Hari Kebangsaan secara fizikal dan besar-besaran, bakal berakhir apabila acara bagi memperingati tarikh keramat negara itu menggegarkan Dataran Merdeka, Rabu ini.

Ramai pastinya merindui suasana kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan dan menantikan perarakan pelbagai kontinjen penuh warna-warni, kenderaan berhias, jentera serta aset keselamatan negara, selain persembahan muzikal, sekali gus menyemarakkan semangat kemerdekaan yang dikecapi negara sejak 1957.

Uniknya tahun ini, acara penuh gilang gemilang itu menjanjikan beberapa kejutan dan kelainan dalam persembahan serta pertunjukan, termasuk pembabitan jumlah kontinjen serta aset yang banyak, bersedia untuk memukau kira-kira 50,000 pengunjung yang dijangka hadir memeriahkan suasana sambutan Hari Kebangsaan 2022 ini.

Pengarah Bahagian Pengembangan Seni Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Rosnan Nordin, berkata JKKN yang diberi tanggungjawab bagi pengurusan acara itu menjanjikan pengisian yang berbeza berbanding acara tahun sebelum ini, yang dilaksanakan di Putrajaya secara sederhana akibat pandemik COVID-19.

Beliau berkata, selaras tema sambutan iaitu #KeluargaMalaysia Teguh Bersama, JKKN bersama agensi terbabit akan memastikan pengisian acara pada 31 Ogos ini bukan sekadar menterjemahkan tema itu, malah mempamerkan semangat Keluarga Malaysia.

"Setiap tahun, orang ramai menantikan apa persembahan dan pertunjukan dipamerkan… lebih-lebih lagi tahun ini selepas dua tahun tiada sambutan secara besar-besaran, mereka merindui suasana sambutan Hari Kebangsaan dan ini cabaran kita untuk menepati jangkaan serta harapan mereka yang hadir.

"Sambutan kali ini, kita bawa pelbagai pengisian yang berbeza, luar jangka dan unik agar semangat kemerdekaan itu dapat diterjemah dan dirasai rakyat sama ada yang hadir ke Dataran Merdeka mahupun mereka yang menonton di televisyen," katanya.

Acara pada 31 Ogos akan dimulakan dengan ketibaan rasmi pembesar negara, sebelum keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riíayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dengan menaiki kereta kuda diraja.

Ia diikuti lintasan hormat pesawat membawa Jalur Gemilang serta tembakan 14 das meriam yang menjadi antara acara tradisi sambutan Hari Kebangsaan.

Rosnan berkata, jumlah kontinjen terbabit perarakan kali ini bertambah apabila untuk pertama kali 27 kementerian menghantar kontinjen masing-masing, selain penyertaan agensi unit beruniform dan pihak swasta yang menjadikan secara keseluruhan membabitkan penyertaan hampir 16,000 peserta.

Perarakan kontinjen bermula dengan pembawa bendera Jalur Gemilang gergasi dan diikuti dengan 1,000 pembawa Jalur Gemilang dan bendera negeri-negeri, seterusnya kontinjen daripada semua kementerian.

Segmen perarakan diteruskan dengan lintasan kontinjen motosikal berkuasa besar, kontinjen Orang Asal, diikuti dengan dua unit bas yang membawa wira dan wirawati sukan negara, selain kereta vintage yang membawa tokoh tempatan dan selebriti serta diiringi kumpulan pancaragam.

Lebih menarik, penonton akan disajikan dengan lintasan kereta berhias atau float daripada kontinjen pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti kereta berhias gabungan syarikat telekomunikasi tempatan serta float yang membawa replika satelit MEASET yang menjadi antara tumpuan utama pada hari berkenaan.

(Jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan lintas hormat
pada sesi raptai sambutan Hari Kebangsaan 2022
di Dataran Merdeka hari ini/FOTO BERNAMA)

Acara Hari Kebangsaan pastinya tidak lengkap tanpa pertunjukan jentera dan aset ketenteraan dan keselamatan, malah ini menjadi segmen kemuncak dinantikan Keluarga Malaysia Rabu ini.

Menurut Rosnan, jumlah aset dan jentera yang hampir mencecah 200 unit terdiri daripada jentera darat, marin dan udara yang akan dipertontonkan kepada pengunjung kali ini, antara terbanyak serta dilengkapi dengan kamera khas yang memberikan gambaran dari dalam jentera itu.

"Pada hari berkenaan, pertunjukan udara membabitkan aset TUDM akan memukau penonton dengan mempamerkan skil penerbangan rendah dan banyak lagi kejutan lain," katanya.

Antara persembahan menarik lain termasuk pertunjukan formasi manusia serta barisan artis jemputan seperti Aina Abdul, Amir Masdi dan Alif Satar.

Orang ramai diminta hadir awal pada 31 Ogos ini di Dataran Merdeka selain membawa Jalur Gemilang untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2022 itu. – BERNAMA

Photo caption: Sebahagian peserta dari Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan (JKKNS) menjalani latihan dan persiapan akhir untuk persembahan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 pada 31 Ogos ini, hari ini.

Jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan lintas hormat pada sesi raptai sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka hari ini. - BERNAMA

Media Baharu