LABUAN, 10 Januari- Penjawat awam di Wilayah Persekutuan Labuan diseru mendaftar Pangkalan Data Utama (PADU) dalam menyahut inisiatif kerajaan itu..
Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek berkata, golongan tersebut perlu menjadi contoh kepada masyarakat dalam pelaksanaan PADU.
"Saya ingin menyeru penjawat-penjawat awam kerana saya melihat data tadi, kita ada lebih kurang dalam 11,000 penjawat awam di labuan tetapi sekarang kita hanya ada 600 sahaja yang baru mendaftar.
"Bagi saya penjawat harus menjadi contoh dan mereka harus mendahului dalam seruan kerajaan (melaksanakan) PADU," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kampung Lubok Temiang, sini, hari ini.
Warga Labuan turut diseru untuk mendaftar secara dalam talian atau datang ke dua lokasi pendaftaran fizikal PADU di Labuan iaitu di PEDi Kampung Lubok Temiang dan PEDi Kampung Sungai Labu.
Jabatan Perangkaan Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan memaklumkan lebih 2,000 warga Labuan telah mendaftar PADU, setakat ini.