fb fb fb fb fb

Penjawat awam: Pelaksanaan skim caruman KWSP secara mandatori harus libatkan pihak berkepentingan - CUEPACS

Adnan Mat

KUALA LUMPUR, 25 Januari- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik pencerahan yang diberi oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bahawa pengambilan secara lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam yang diumumkan baru-baru ini adalah langkah sementara.

Justeru, Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berharap kerajaan mengadakan sesi libat urus terlebih dahulu dengan pihak berkepentingan sebelum menetapkan sebarang pelaksanaan termasuk skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara mandatori kepada lantikan baharu.

Beliau juga berpandangan kerajaan tidak wajar memansuhkan skim pencen penjawat awam yang secara puratanya berkhidmat untuk negara melebihi 30 tahun sebelum layak menerima faedah tersebut.

Jelasnya, pandangan CUEPACS turut jelas, sekiranya kerajaan mahu melaksanakan sesuatu perkara, ia perlu berlandaskan prinsip tidak mengurangkan faedah semasa yang dinikmati penjawat awam ketika ini.

"Ketika ini, penjawat awam dibenarkan membuat pilihan sama ada memilih skim berpencen ataupun caruman KWSP.

"Walaupun terdapat penjawat awam memilih skim caruman KWSP, tetapi kebanyakan mereka lebih memilih skim berpencen kerana ianya dianggap sebagai lebih baik dan menjamin kesejahteraan selepas persaraan kelak.

"Dengan skim gaji masih rendah dalam perkhidmatan awam ketika ini, skim caruman KWSP ini dilihat tidak membantu penjawat awam mempunyai simpanan hari tua yang baik selepas persaraan kelak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, tambah Adnan, kerajaan juga harus memastikan gaji yang diterima penjawat awam mampu memberi kesejahteraan hidup, sekali gus mampu memberi simpanan untuk hari persaraan kelak.

Pada masa sama, beliau memberitahu, situasi semasa tersebut tidak melibatkan lantikan tetap dan tidak seperti kefahaman orang ramai bahawa lantikan baharu hanya diberikan status kontrak sahaja.

"Perjawatan tetap masih wujud tetapi dalam tempoh interim ini hanya dilantik sebagai kontrak sebelum dilantik secara tetap menerusi kaedah baharu di bawah Sistem Saraan Pekhidmatan Awam yang akan dimuktamadkan kelak.

"Situasi semasa ini tidak melibatkan lantikan tetap sebelum ini dan tidak seperti kefahaman orang ramai bahawa lantikan baharu kelak hanya diberikan status kontrak sahaja," ujarnya.

CUEPACS turut menyarankan kerajaan untuk mengkaji semula pemberian pencen kepada ahli politik yang berkhidmat pada tempoh lebih singkat berbanding penjawat awam.

Jelasnya, kumpulan itu bukan sahaja menerima elaun serta peruntukan tinggi semasa berkhidmat, malah memiliki pelbagai keistimewaan berbanding penjawat awam yang secara purata berkhidmat lebih 30 tahun.

"Jika kekangan kewangan yang menghalang kerajaan untuk meneruskan skim pencen perkhidmatan awam, kerajaan juga perlu mengkaji semula pemberian pencen kepada ahli politik.

"Ketika ini ahli politik yang dipilih menjadi wakil rakyat membabitkan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri serta dilantik ke dalam jawatan eksekutif seperti exco, menteri, timbalan menteri juga layak untuk menerima pencen.

"Pemansuhan pemberian pencen kepada golongan ini terlebih dahulu merupakan langkah tepat kerana kebanyakan mereka berkhidmat sekitar lima tahun sahaja," katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KKPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, pelaksanaan pengambilan pegawai baharu secara lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam akan berkuat kuasa mulai 1 Februari depan.

Menerusi satu pekeliling yang dilihat media pada Selasa lalu, pelaksanaan tersebut dilakukan sehingga inisiatif kaedah lantikan baharu diperkenalkan.

Ketika ini, inisiatif kaedah baharu itu dalam fasa pindaan kepada undang-undang berkaitan, juga dilihat mampu mengurangkan tanggungan fiskal negara dalam tempoh jangka masa panjang.

Beliau berkata, inisiatif itu selaras dengan komitmen negara dalam menangani isu peningkatan tanggungan pencen.

SITI AISHAH BINTI MD ISA