KUALA LUMPUR, 25 Januari - Dakwaan Tabung Haji (TH) mengagihkan kuota tertentu kepada pihak swasta atau Pengendali Jemaah Haji (PJH) adalah tidak benar sama sekali.
TH melalui kenyataan menafikan dakwaan itu berkata, kuota haji berjumlah 31,600 yang telah diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi adalah mengikut sistem pendaftaran haji terbuka.
Katanya, ia berdasarkan konsep "Mendaftar Dahulu, Didahulukan", yang dilaksanakan sejak dari tahun 1995 lagi.
"Apabila bakal jemaah sudah terpilih di dalam kuota tahunan, mereka boleh memilih samada ingin menunaikan ibadat haji melalui TH (Muassasah) atau melalui syarikat-syarikat PJH yang telah dilesenkan oleh TH.
"Bakal Haji yang memilih syarikat PJH adalah mereka yang berkemampuan untuk membayar lebih dari kos haji bagi mendapatkan perkhidmatan yang lebih baik dari Muassasah," katanya hari ini.
Dakwaan bahawa TH hanya mengendalikan 11,000 jemaah pada tahun ini adalah tidak benar kerana majoriti jemaah haji atau sekitar 70 peratus hingga 80 peratus adalah melalui Muassasah.
"Syarikat PJH pula membuat bayaran kepada TH bagi setiap jemaahnya untuk perkhidmatan dan kemudahan di Tanah Suci termasuk bayaran wajib yang dikenakan oleh pihak Arab Saudi," katanya.
Oleh itu, TH mengingatkan orang awam untuk tidak menyebarkan berita palsu yang tular di media sosial.
Bakal jemaah Haji Malaysia dinasihatkan untuk rujuk kepada platform media sosial rasmi TH bagi mendapatkan maklumat yang sahih, tepat dan terkini.
"Untuk sebarang pertanyaan lanjut, boleh berhubung Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919," menurut kenyataan itu lagi.