JOHOR BAHRU, 23 November- Kerajaan Johor hari ini mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan dua bulan gaji kepada kakitangan awam negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, turut menerima, kakitangan kerajaan persekutuan yang dibayar gaji oleh kerajaan negeri.
"Semoga bantuan ini menjadi pembakar semangat dan pemangkin motivasi agar penjawat-penjawat awam terus berkhidmat dan berbakti dengan cemerlang serta sentiasa memberikan yang terbaik kepada Bangsa Johor,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan belanjawan Johor 2024, pada Mesyuarat keempat Penggal Persidangan Kedua Dun Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri Johor Bahru hari ini.
Dalam pada itu, kerajaan Johor hari ini membentangkan belanjawan lebihan RM4.21 juta, untuk tahun kedua berturut-turut.
Bertemakan Memacu Pembangunan Menyejahterakan Rakyat, enam teras utama disenaraikan dalam belanjawan Johor 2024 dengan disokong 29 strategi dan 99 inisiatif.
Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia melibatkan tadbir urus kerajaan, pembangunan ekonomi, jaringan keselamatan sosial, kemudahan keperluan asas, keselamatan, kebersihan dan kelestarian alam sekitar serta Orang Muda Johor.
Unjuran hasil bagi tahun 2024 disasarkan sebanyak RM1.804 bilion rmanakala perbelanjaan sebanyak RM1.799 bilion.
"Pada tahun 2024, Kerajaan Negeri Johor mensasarkan pungutan hasil sebanyak RM 1.804 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM 69.96 juta atau 4.03 peratus berbanding tahun 2023.
"Berdasarkan anggaran tersebut, sebanyak RM 858.93 juta disumbangkan melalui cukai langsung, manakala sebanyak RM 31.67 juta melalui cukai tidak langsung.
"Hasil cukai yang dikutip ini sebahagian besarnya atau kira-kira 89.64 peratus datang dari sumber cukai tanah,"katanya.
Bagi tahun ini, Johor berjaya mengutip hasil melebihi 100 peratus, selepas mengutip RM1.767 bilion berbanding sasaran, RM1.734 bilion.
Terdahulu pada 1 Disember 2022, Datuk Onn Hafiz mengumumkan lebihan belanjawan RM2.44 juta selepas dua tahun merekodkan belanjawan defisit pada 2021 dan 2022.