fb fb fb fb fb

Pematuhan terhadap NIMP 2030 bantu bawa perubahan positif kepada pelaburan di Melaka

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

BANDARAYA MELAKA, 23 November - Pembangunan kawasan perindustrian baharu di Melaka diharap selaras dengan strategi dan pelan tindakan bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia bagi membawa perubahan positif kepada sektor perindustrian Melaka selain mematuhi Rangka Kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri (ESG) Kebangsaan atau i-ESG.

Jelas beliau, ketika ini cadangan kerajaan negeri itu untuk membangunkan tiga kawasan perindustrian baharu iaitu di MCORP Hi-Tech Park, Taman Perindustrian Jerman dan Taman Perindustrian Elkay Fasa 2 dilihat bersesuaian dengan misi NIMP 2030.

"Dan saya percaya inisiatif-insiatif kerajaan negeri Melaka yang telah dibentangkan hari ini yang kita akan diperhalusi daripada kementerian-kementeria, dan agensi berkaitan yang lain tetapi MITI memang memberi sokongan kepada cadangan-cadangan yang telah dibentangkan pada hari ini.

"Jadi kita di MITI akan terus mengukuhkan kerjasama dengan semua kerajaan negeri termasuklah Melaka melalui platform yang ada hari ini melalui Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI)," kata Tengku Zafrul selepas JBI dengan Kerajaan Negeri Melaka yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, di sini.

Sementara itu, Ab Rauf berkata mesyuarat antara kerajaan negeri dan MITI serta agensi-agensi dan kementerian-kementerian pada mesyuarat berkenaan memberi keputusan baik kepada Melaka untuk mengorak langkah memperkenalkan kawasan-kawasan perindustrian baharu.

Ia juga dapat memastikan perancangan dibuat kerajaan negeri mendapat sokongan sepenuhnya daripada kerajaan Persekutuan terutama untuk memajukan M-WEZ, katanya.

"Kita memerlukan sokongan daripada semua agensi-agensi kerajaan (Persekutuan) dan Kementerian bagi merealisasikan atau ibu kota baharu Melaka (iaitu M-WEZ) ini menjadi kenyataan," katanya.

TETITIA YUSOFF