fb fb fb fb fb

18 pelupusan barangan tiruan di Sabah telah dilaksanakan hingga November

FOTO FAIL

KOTA KINABALU, 23 November - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah menjalankan sebanyak 18 pelupusan barangan tiruan dengan nilai ekshibit RM1.045 juta bermula Januari hingga November lepas.

Pengarah KPDN Sabah Georgie Abas berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM396,998.07 telah dijadikan sebagai hasil pendapatan kerajaan.

“KPDN hari ini akan melupuskan barangan rampasan tiruan bernilai RM375,210.63 melibatkan 11 kes yang telah selesai dan didapati bersalah di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya menerusi kenyataan media yang diedarkan pada majlis pelupusan barangan tiruan berkenaan, di sini.

Majlis pelupusan ekshibit perdana itu dilaksanakan oleh Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Negeri Sabah Zulfamy Mat Udi.

Georgie berkata barangan tiruan yang dilupuskan itu antaranya kemeja-T, kasut, selipar, jam tangan, minyak wangi, syampu, cakera padat (CD), pemacu pena, pelbagai beg berjenama dan pencukur.

Beliau berkata sebanyak 70,335 pemeriksaan telah dijalankan di premis di seluruh Sabah sepanjang tahun ini dan daripada pemeriksaan itu, sebanyak 1,096 kes melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Selain itu, kesalahan lain direkodkan melibatkan Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Perihal Dagangan 2011 dengan nilai kompaun RM485,800, nilai rampasan RM5.941 juta dan nilai denda RM123,000," kata Georgie.

TETITIA YUSOFF