MACHANG, 26 Julai – Ketua jabatan boleh mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang menyertai mana-mana perhimpunan yang dianjurkan orang awam.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata penyertaan penjawat awam dalam perhimpunan melanggar tatakelakuan dan disiplin perkhidmatan awam.
Menurut beliau, sekiranya didapati penjawat awam melanggar larangan tersebut, tindakan seterusnya tertakluk kepada pertimbangan dan budi bicara ketua jabatan masing-masing.
“Pegawai-pegawai awam sepatutnya menunjukkan contoh atau teladan yang baik kepada negara. Jadi, penglibatan penjawat awam tidak memberi manfaat.
"Jika ada penjawat awam yang dikenal pasti menyertai perhimpunan itu, ia terpulang kepada ketua jabatan masing-masing untuk ambil tindakan.
"Lagi pun kita telah pun mengeluarkan kenyataan media baru-baru ini berkait dengan tanggungjawab penjawat awam untuk tidak menyertai perhimpunan ini kerana ia melanggar peraturan disiplin," katanya kepada media selepas merasmikan Program Santuni MADANI Satu Pemimpin Satu Kampung Jabatan Peguam Negara di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong, di sini, hari ini.
Katanya, penjawat awam perlu mengekalkan etika profesional dan menjaga imej institusi.
Sebelum ni Jabatan Peguam Negara (AGC)memaklumkan penjawat awam tertakluk kepada arahan khusus yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) berhubung larangan menyertai mana-mana perhimpunan awam.
Sebarang kegagalan mematuhi P.U. (A) 1/2012, P.U. (A) 395/1993, Perintah-perintah Am, pekeliling, surat pekeliling, peraturan dan arahan lain yang dikeluarkan oleh kerajaan boleh menyebabkan tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai awam itu di bawah P.U. (A) 395/1993.