fb fb fb fb fb

Guterres desak tindakan segera tangani kebuluran di Gaza

Antonio Guterres/REUTERS

NEW YORK, 26 Julai – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menggesa tindakan segera diambil untuk menangani kebuluran yang semakin meruncing di Gaza.

Dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung Global Amnesty International, Guterres mengulangi kecaman terhadap serangan yang dilakukan rejim Zionis pada 7 Oktober lalu.

Guterres turut menyampaikan gambaran menyayat hati mengenai keadaan kakitangan PBB yang bertugas di Gaza.

"Petugas kami yang berani terus berkhidmat dalam keadaan yang tidak dapat dibayangkan. Ramai yang sudah terlalu lemah sehingga mereka berkata, mereka tidak merasa hidup mahupun mati. Kanak-kanak pula bercakap tentang mahu ke syurga kerana, sekurang-kurangnya, di sana ada makanan. Kami mengadakan panggilan video dengan petugas kemanusiaan kami yang kelaparan di depan mata kami.

"Ini bukan sekadar krisis kemanusiaan. Ini adalah krisis moral yang mencabar hati nurani seluruh dunia. Kami akan terus bersuara pada setiap kesempatan. Tetapi kata-kata tidak mampu mengenyangkan kanak-kanak yang lapar," katanya.

Menurut Guterres, PBB bersedia sepenuhnya untuk memperhebatkan operasi kemanusiaan di seluruh Gaza sekiranya gencatan senjata dapat dilaksanakan.

"Pelan kami sudah lengkap. Kami tahu apa yang perlu dilakukan. PBB bersedia memanfaatkan sebaiknya peluang gencatan senjata untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan secara besar-besaran, seperti yang telah berjaya dilakukan ketika jeda pertempuran sebelum ini," jelasnya.

Beliau turut menekankan keperluan untuk tindakan segera, termasuk gencatan senjata kekal, pembebasan semua tebusan tanpa syarat, serta akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan.

"Kita perlukan gencatan senjata yang segera dan kekal. Pembebasan semua tebusan dengan serta-merta dan tanpa syarat, serta akses kemanusiaan yang segera dan tanpa halangan," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI