fb fb fb fb fb

KEDA serah geran kepada pemilik sah, perkasa ekonomi luar bandar

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi/ BERNAMA

ALOR SETAR, 26 Julai - Pemberian geran hak milik rumah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) merupakan pendekatan agensi itu untuk memastikan ia diserahkan kepada pemilik sah, bukan penyewa atau penghuni sementara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia merupakan usaha dalam memastikan bantuan kerajaan sampai terus kepada pemilik.

"Kita akan menyaksikan para penerima geran adalah pemilik sah rumah yang didiami, bukan penyewa atau penghuni sementara. Ini yang membezakan pendekatan KEDA berbanding agensi lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Jawatankuasa Pasukan Perancang Pelaksana Program (4P) dan Belia Luar Bandar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang berlangsung di Dewan Konvensyen Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), di sini.

Langkah itu bukan sahaja menjamin hak milik yang sah, malah memberi jaminan bahawa pembangunan luar bandar akan terus diselaraskan dengan lebih teratur dan menyeluruh.

"Bawah Rancangan Malaysia Ke-13, KEDA akan memberikan tumpuan kepada pemilikan rumah. Selain itu galakan kepada belia untuk menjana ekonomi melalui aktiviti keusahawanan di kawasan masing-masing," katanya lagi.

Ia sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam memajukan kawasan luar bandar dan memberi perhatian kepada pembangunan generasi muda serta pengurusan desa lebih cekap dan berdaya saing.

Konvensyen itu dijangka menjadi platform penting bagi merangka hala tuju baharu ke arah pembangunan lebih mampan dan sejajar dengan aspirasi nasional, khususnya dalam memperkukuh potensi belia sebagai pemacu transformasi luar bandar.

Buku Garis Panduan Jawatankuasa Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) turut dilancarkan, serta penyampaian pelbagai anugerah penghargaan termasuk Anugerah Pengurusan Desa KEDA Terbaik, Anugerah Kelab Belia Desa KEDA Terbaik, Anugerah Belia Luar Bandar Negeri Kedah Terbaik, dan geran hak milik rumah desa KEDA.
 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI