KUALA LUMPUR, 25 Julai – Pertandingan Miss Malaysia Kebaya (MMK) kembali dengan lebih meriah pada tahun 2025 sebagai sebahagian daripada kempen promosi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus memperkukuh kedudukan busana tradisional sebagai simbol diplomasi budaya.
Presiden Persatuan Fesyen, Permodelan dan Pageant Malaysia (MFMPA) merangkap pengasas MMK, Dr. Jason Hee berkata, penganjuran kali ini akan melibatkan jelajah di beberapa negeri utama termasuk Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Pulau Pinang dan Selangor, sebelum pertandingan akhir diadakan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 17 Ogos depan bersempena dengan Hari Kebaya Kebangsaan.
"Miss Malaysia Kebaya kita mula pada tahun 2012. Kalau ikut kiraan, sudah 13 tahun, tetapi kerana Covid-19 kita berhenti dua tahun. Jadi tahun ini kita anggap sudah masuk edisi ke-11.
"Matlamat utama edisi 2025 ini ialah untuk mempromosikan dan menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya kepada pemberita selepas sidang media Miss Kebaya Roadshow 2025 di sini.
Beliau turut menyatakan bahawa kerjasama erat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta agensi bawah kementerian itu Tourism Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kraftangan Malaysia serta Jabatan Warisan Negara menjadi tonggak kejayaan penganjuran acara tersebut sejak awal.
"Sejak 2012, Tourism Malaysia sudah menyokong kita secara konsisten. Menteri-menteri sebelum ini termasuk Tan Sri Dr. Ng Yen Yen dan Datuk Rashidi Hasbullah.
"Kini Menteri Datuk Seri Tiong King Sing semuanya memberi galakan dan pengiktirafan terhadap peranan Miss Kebaya dalam mempromosikan pelancongan dan warisan budaya negara," katanya.
Dr. Jason turut menekankan bahawa MMK bukan sekadar pertandingan ratu cantik semata-mata, sebaliknya merupakan platform pelbagai dimensi untuk mendidik, menggalakkan pemahaman budaya dan memperluas jaringan diplomasi budaya.
"Kita bukan sekadar menampilkan peserta dewasa. Sekarang kita ada juga ‘Kids Team’ daripada Klasik, dan penganjuran ini terbuka kepada peserta dari luar negara. Kita jemput pelancong dan warga asing untuk pakai kebaya dan memahami budaya kita. Inilah diplomasi budaya sebenar," jelasnya.
MFMPA turut merancang untuk menganjurkan Miss Kebaya World bagi tahun kedua serta Karnival Kebaya Malaysia, yang melibatkan forum, pameran, bengkel dan pertunjukan fesyen dalam satu platform besar memperingati busana warisan tersebut.
Turut hadir sebagai tetamu kehormat pada pelancaran tersebut ialah Pengarah Bahagian Domestik dan Acara, Tourism Malaysia Mazreena Mohd Yusuf.