BINTULU, 26 Julai – Seramai 12 individu cedera dalam kebakaran melibatkan longgokan kayu dan dua unit mesin dandang (boiler) di sebuah kilang memproses kayu di Jalan Kemena, Kemena Industrial Estate, pada Jumaat.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Lima Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 7.30 malam.
"Operasi pemadaman dijalankan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu bersama bantuan BBP Kidurong.
"Kebakaran memusnahkan 100 peratus dua buah boiler dan sebahagian struktur bangunan," menurut kenyataan itu.
Mangsa yang cedera termasuk seorang remaja lelaki berusia 12 tahun yang cedera di tangan dan kaki.
Mangsa dihantar ke Hospital Bintulu oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.
Operasi pemadaman menggunakan beberapa aliran hos dan bantuan jentera berat milik syarikat bagi mengalihkan sisa kayu yang masih berbara.
Punca kejadian masih dalam siasatan.