SARATOK, 26 Julai - Seorang nelayan maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai dilanggar lari sebuah kenderaan pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Saratok, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Matthew Manggi, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.00 malam di Jalan Gerigat.
"Mangsa Ramlan Othman, 42 tahun ditemukan dalam keadaan meniarap dengan motosikalnya melintang di tengah jalan.
"Seorang lagi mangsa Mohd Amirul Amel, 33 tahun yang datang dari jalan Nyabor tidak sempat mengelak dan merempuh motosikal mangsa mengakibatkannya tercampak ke tengah jalan," kata Matthew Manggi yang mengesahkan kejadian itu kepada pemberita.
Polis meminta bantuan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan tersebut untuk tampil membantu siasatan.
Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1), Akta pengangkutan jalan 1987.