ALOR SETAR, 26 Julai -Keperluan sumber manusia, kepakaran, peralatan dan logistik di Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) di seluruh negara akan ditambah baik.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata model CIC yang akan datang menempatkan semua kepakaran bawah satu bumbung.
Ia termasuk penglibatan beberapa agensi lain seperti Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana terdapat elemen-elemen yang diperlukan dalam proses siasatan.
"Fungsi corroborative evidence (bukti sokongan) ini sebenarnya dikendalikan oleh CIC. Oleh itu, penting untuk kita beri perhatian terhadap peranan mereka. Bayangkan, mereka sedang mengambil keterangan yang diperakukan mengikut undang-undang sebagai keterangan yang boleh diterima di mahkamah, dan keterangan itu juga boleh membawa kepada sabitan kes.
"Dan semua proses itu akan dibuat secara rakaman dan video rakaman itulah nantinya dipaparkan di mahkamah semasa proses perbicaraan,"katanya kepada pemberita selepas merasmikan CIC Kontinjen Kedah di CIC Perumahan Polis Taman Derga Jaya, di sini.
Selain itu Datuk Seri Saifuddin berkata, penambahbaikan undang-undang sedia ada iaitu Akta Kesalahan Jenayah Seksual Kanak-Kanak 2017 akan diberi perhatian melalui kerjasama di peringkat antarabangsa serta kerjasama antara agensi dan jabatan.
Langkah itu bagi memastikan CIC dapat memainkan peranannya dengan lebih berkesan bagi menangani jenayah seksual melibatkan kanak-kanak. Ketika ini, terdapat 31 CIC di seluruh negara yang mengendalikan lebih 6,000 kes jenayah seksual.
Di Kedah, purata jumlah kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak meningkat kepada 42 kes sebulan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding purata 16 kes sebulan tahun lalu.