fb fb fb fb fb

Penipuan pelaburan, pengarah urusan syarikat mahu orang ramai tampil buat laporan polis

GEORGE TOWN, 13 Julai- Satu penipuan pelaburan menggunakan nama syarikat Nar Trading Traders Sdn Bhd kini menjerat ratusan pelanggan di Malaysia.

Lebih teruk, penipuan itu menjanjikan keuntungan berkonsepkan Islam.

Sehubungan itu, Pengarah Urusan Nar Trading Traders Sdn Bhd, Mohd Nasri Abdul Rahim menasihatkan orang ramai lebih peka dan sedar supaya tidak menjadi mangsa keadaan atas kehendak broker yang berurusan dengan pelanggan.

"Saya selaku Pengarah Urusan Nar Trading Traders Sdn Bhd menyeru kepada semua orang yang berada di luar sana yang pernah berurusan dengan kami, mencurigai urus niaga tersebut untuk tampil ke hadapan dan membuat laporan polis supaya hak anda dapat dilindungi selain kita dapat membanteras aktiviti penipuan," kata Mohd Nasri kepada pemberita dalam sidang akhbar yang turut dihadiri peguamnya, S. Raveentharan.


(Pengarah Urusan Nar Trading Traders Sdn Bhd, Mohd Nasri Abdul Rahim memaklumkan
perkara itu dalam satu sidang media)

Kesemua penipuan itu berlaku tanpa pengetahuannya dan kini syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang berdepan kerugian jutaan ringgit.

Modus operandi penipuan melibatkan pihak ketiga berurusan dengan pelanggan menggunakan nama syarikat dan tandatangan palsu untuk menyakinkan pelabur sedangkan perkara itu tidak diketahui syarikat.

Sindiket sama turut menawarkan beberapa pakej pelaburan dan setiap pelabur diminta menandatangani surat akuan janji bagi menyakinkan pelaburan berkonsepkan Islam.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang masih menyiasat kes tersebut dan setakat ini hampir 20 laporan polis dibuat oleh mangsa yang tertipu.

Orang ramai diseru membuat laporan polis sekiranya pernah melabur dalam syarikat itu dan pengurusan syarikat akan cuba membantu sedaya upaya dalam urusan penipuan.

Media Baharu