fb fb fb fb fb

Ibadah korban JBPM Kelantan, NGO sumbang tujuh ekor lembu

KOTA BHARU, 13 Julai- Pertubuhan Kasih Neelofa menyumbangkan tujuh ekor lembu termasuk dua ekor baka Charolais sempena Majlis Korban Perdana Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Kelantan Tahun 2022, hari ini.

Menurut Pengarah JBPM Kelantan, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB), Zainal Madasin, dua ekor lembu sado itu seberat 800 hingga 1,000 kilogram dengan nilai hampir RM20,000 seekor.

Katanya, kesemua daging lembu berkenaan akan diagihkan kepada 850 penerima termasuk anggota bomba dan golongan asnaf di negeri itu.

“Sasaran kita ialah Jabatan Bomba, kebanyakkannya warga bomba dan asnaf. Lebih kurang 800 orang kita sasarkan tapi lihat dengan jumlah lembu lah yang kita dapat ini. Insya-Allah, kita ada anggota kita yang boleh dikategorikan sebagai ibu tunggal, anggota meninggal dan hero-hero bomba, kita akan agih kepada mereka,” kata beliau dalam sidang media sempena Majlis Korban Perdana JBPM Kelantan Tahun 2022 di Ibu Pejabat JBPM Negeri Kelantan di Tunjong, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Kasih Neelofa, Noor Neelofa Mohd Noor.

Mengulas lanjut, PPjB Zainal berkata program ibadah korban itu merupakan kerjasama kali ketiga antara pihaknya dan pertubuhan tersebut selain Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAC) di Gua Musang dan Misi Bantuan Banjir awal tahun ini.

Sementara itu, Noor Neelofa berkata sebanyak 15 ekor lembu disembelih sempena Ibadah Korban tahun ini termasuk di Kelantan, Perak, Kedah dan Selangor dengan peruntukan lebih RM84,000.


(Pengerusi Pertubuhan Kasih Neelofa, Noor Neelofa Mohd Noor turut hadir bersama suami menyerikan lagi majlis ibadah
korban JBPM Kelantan pada tahun ini di Kota Bharu)

Media Baharu