fb fb fb fb fb

102 rumah rosak akibat ribut di Perlis

KANGAR,13 Julai- Sehingga 11.00 pagi ini, jumlah rumah terjejas dalam kejadian angin kencang dan hujan lebat yang melanda Perlis awal pagi semalam meningkat kepada 102 buah.

Kawasan yang terjejas teruk ialah Padang Besar, sebanyak 62 buah rumah, diikuti Arau 28 buah rumah, manakala Kangar, sebanyak 12 buah rumah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor, hasil bancian bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati, Taman 20, Bukit Keteri teruk terjejas dengan 30 buah rumah terlibat.

Lain-lain kawasan yang teruk terjejas ialah Perawah; 13 buah rumah, Balik Bukit; 12 buah rumah, Panggas; 10 buah rumah dan Paya dengan 6 buah rumah.

Manakala 14 kawasan lain yang terlibat antaranya Masjid Putra, Pekan Kangar, Ulu Pauh, Wang Besar dan Oran dengan melibatkan antara sebuah hingga 4 buah rumah setiap kawasan.


(Antara rumah yang terjejas teruk akibat ribut di Perlis)

Majoriti rumah rosak akibat struktur rumah dan bumbung diterbangkan angin serta dihempap pokok tumbang.

Penduduk yang terjejas disaran untuk segera membuat laporan polis bagi membolehkan pihak MAIPs dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan maklumat lengkap kerosakan setiap rumah.

Ahli Dewan Undangan Negeri di kawasan terjejas telah menghulurkan bantuan pek makanan menerusi Pusat Khidmat DUN.

Media Baharu