GEORGE TOWN, 4 Jun - Seorang pengurus syarikat berasaskan kesihatan kerugian lebih RM1.3 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian yang diiklankan menerusi media sosial.
Mangsa, seorang lelaki berusia 46 tahun terpedaya dengan sindiket terbabit selepas melihat iklan pelaburan jual beli saham menerusi aplikasi Instagram, pertengahan April lalu.
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, mangsa telah melakukan 21 transaksi pemindahan wang ke dalam empat akaun berbeza bermula 27 April hingga 29 Mei lalu.
“Mangsa yang dijanjikan keuntungan singkat daripada modal pelaburan, hanya menyedari ditipu selepas tidak dapat mengeluarkan keuntungan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.