fb fb fb fb fb

Malaysia berperanan penting dalam penyertaan rasmi Timor-Leste ke ASEAN

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Malaysia memainkan peranan penting dalam memastikan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN, sekali gus menandakan perkembangan signifikan dalam sejarah rantau ini.

Menurut Timbalan Dekan (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Muhammad Hakimi Mohd Shafiai, langkah itu menggambarkan komitmen berterusan Malaysia terhadap usaha memperkukuh keluarga besar ASEAN yang terdiri daripada negara-negara dengan tahap ekonomi berbeza namun saling melengkapi.

Beliau turut menegaskan bahawa agenda penyertaan Timor-Leste telah digerakkan sejak 14 tahun lalu, sebelum tahun 2011, dan kini menjadi kenyataan hasil sokongan berterusan negara anggota, termasuk Malaysia.

“ASEAN merupakan rantau yang dinamik dengan kepelbagaian dari segi ekonomi dan sosial. Kemasukan Timor-Leste bukan sahaja memberi kelebihan kepada negara itu sendiri, tetapi juga manfaat kepada keseluruhan keluarga ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, lawatan rasmi yang dilakukan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ke Timor-Leste sebelum ini mencerminkan kesungguhan Malaysia dalam memperkukuh hubungan dua hala, terutama dalam aspek kedamaian serantau dan kemakmuran ekonomi.

“Malaysia bersedia membantu daripada segi pembangunan ekonomi dan kestabilan rantau demi kesejahteraan rakyat Timor-Leste serta keamanan bersama,” katanya lagi.

Sementara itu, reaksi rakyat dan kepimpinan Timor-Leste terhadap penyertaan rasmi negara itu ke dalam ASEAN disambut dengan penuh emosi dan rasa syukur.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM