MEKAH, 4 Jun– Dua lagi jemaah haji Malaysia, termasuk seorang wanita, dilaporkan meninggal dunia di Hospital King Abdullah, Mekah, menjadikan jumlah kematian jemaah haji negara kini meningkat kepada tujuh orang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengesahkan bahawa jemaah yang meninggal dunia ialah Siti Hawa Ibrahim, 64, dari Terengganu dan Abdul Halim Awang, 76, dari Alor Setar, Kedah.
Menurutnya, allahyarhamah Siti Hawa, yang merupakan peserta dari KT015 Maktab 85A Land Premium, meninggal dunia pada pukul 9.32 malam Selasa akibat serangan jantung di Hospital King Abdullah.
Sementara itu, allahyarham Abdul Halim, dari KT033 Maktab 89B Al Fajar Al Badae 5, meninggal dunia pada pukul 2.45 pagi Rabu akibat jangkitan kuman dan kegagalan organ.
“Tabung Haji akan menguruskan semua perkara berkaitan pengurusan jenazah almarhum dan almarhumah. Kita sama-sama doakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan Allah SWT menerima niat ikhlas mereka menunaikan haji pada tahun ini,” katanya selepas Program Pelepasan Jemaah Haji Malaysia ke Arafah di Abraj Al Tayseer, Mekah, pagi tadi.