fb fb fb fb fb

Pahang hantar bekalan keperluan ke 167 pangkalan hadapan, sedia hadapi MTL

Foto hiasan

KUANTAN, 29 Oktober - Kerajaan Pahang menghantar bekalan keperluan bencana ke semua 167 pangkalan hadapan ke 11 daerah di negeri itu secara berperingkat sebagai kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan berlakunya banjir ekoran Monsun Timur Laut (MTL).

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pangkalan hadapan itu menyediakan barangan keperluan asas antaranya beras, gula, garam, sardin dan biskut.

"Insya-Allah semua bekalan ini akan sampai ke setiap destinasi, 167 pangkalan dalam masa 17 hari. KIta ada 11 daerah dan akan bermula dengan daerah Rompin. Kita hantar ke bawah dulu kemudian bawa ke atas," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pelepasan Misi Penghantaran Barang Keperluan Makanan Kering ke Pangkalan Hadapan Peringkat Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Daerah Temerloh mempunyai sebanyak 33 PPS sekali gus yang terbanyak diikuti Jerantut dan Kuantan masing-masing 20 PPS, Lipis (18), Rompin (15), Pekan (14), Maran (13), Bera (12), Raub (11), Bentong (8) dan Cameron Highlands (3).

Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi menghadapi MTL yang dijangka bermula Januari depan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM3.274 juta diperuntukan bagi pembekalan barang keperluan makanan kering dengan pembelian sebanyak 224.51 tan barang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI