JOHOR BAHRU, 29 Oktober -Kes kelar dan tikam seorang kanak-kanak lelaki, enam tahun di Batu Pahat kelmarin, dipercayai berkait dengan pengaruh permainan video.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, siasatan awal mendapati mangsa disyaki dikelar oleh abangnya sendiri yang berusia sembilan tahun, dalam kejadian di rumah mereka.
Katanya, ibu bapa kepada kanak-kanak berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Mangsa ini telah merosakkan telefon kepada abang dia, jadi abang dia mendapati ‘point’ yang telah dikumpulkan itu hilang dan daripada siasatan awal daripada soal siasat yang kita buat abang dia ini mungkin daripada kesan dalam permainan ini dia mengalami macam halunisasi waktu malam dan ada seolah-olah dia ini disuruh untuk mencederakan ahli keluarganya,” katanya kepada pemberita, di sini.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Mangsa masih dirawat di Hospital Batu Pahat, manakala abangnya ditempatkan di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Keterangan mangsa akan diambil sebaik disahkan stabil dan mendapat kebenaran doktor.
Isnin lalu, seorang kanak-kanak lelaki ditemukan parah dengan kesan kelar pada leher di sebuah rumah di Parit Raja, Batu Pahat.
Selain beberapa kesan tikaman pada badan mangsa.