BALING, 29 Mac- Aliran trafik di daerah Baling dilaporkan meningkat pagi tadi susulan pertambahan kenderaan dari utara menuju ke Pantai Timur, terutama ke arah Gerik.
Ketua Polis Daerah Baling, Penguasa Polis (SUPT) Azmi Mokhtar, berkata kesesakan lalu lintas dikesan sejauh kira-kira dua kilometer, khususnya di kawasan Simpang Tiga Landak.
"Bagi kawasan Baling, di Simpang Tiga Landak terdapat sedikit kesesakan dalam lebih kurang dua kilometer sahaja. Namun, keadaan di lokasi dapat dikawal sebaik mungkin. Jumlah kenderaan meningkat dengan ketara, terutamanya dari arah utara menuju ke timur, khususnya ke Gerik," katanya ketika ditemui di Baling.
Peningkatan jumlah kenderaan dijangka berterusan sepanjang hujung minggu ini, dengan aliran trafik lebih tinggi menjelang waktu berbuka puasa.
Polis menasihatkan pengguna jalan raya agar merancang perjalanan mereka lebih awal, mematuhi peraturan lalu lintas, dan bersabar bagi mengelakkan kesesakan yang lebih teruk.