fb fb fb fb fb

DBKL buat laporan polis susulan insiden penjaja belon

Kenyataan DBKL mengenai kejadian tular melibatkan penjaja belon di Jalan TAR malam tadi

KUALA LUMPUR, 29 Mac- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat laporan polis susulan insiden seorang penjaja belon tanpa lesen yang bertindak agresif terhadap petugas penguat kuasa di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), malam tadi.

Menurut kenyataan DBKL, kejadian berlaku sekitar pukul 11.50 malam ketika rondaan berkala dijalankan bagi memastikan kelancaran pergerakan orang ramai khususnya menjelang sambutan Aidilfitri yang menyaksikan peningkatan jumlah pengunjung di kawasan tersebut.

"Seperti amalan biasa, DBKL memberikan teguran terlebih dahulu sebelum tindakan penguatkuasaan diambil. Penjaja lain telah memberikan kerjasama dan beredar, namun seorang penjaja belon enggan mematuhi arahan walaupun telah ditegur sebanyak dua kali.

"Ketika teguran ketiga diberikan, penjaja tersebut bertindak agresif dengan menolak petugas penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas," menurut kenyataan.

Bagi mengelakkan keadaan bertambah tegang, anggota penguat kuasa berpakaian preman segera menenangkan serta memisahkan penjaja terbabit. 

"Situasi menjadi tegang apabila beberapa penjaja lain cuba campur tangan, namun keadaan berjaya dikawal dan ditenangkan tidak lama kemudian.

"Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini," menurut kenyataan.

DBKL menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan tanpa sebarang unsur perkauman.

"DBKL ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan tanpa mengambil kira sebarang latar belakang kaum. Penguatkuasaan adalah berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan dan tidak mempunyai sebarang motif perkauman," menurut kenyataan.

DBKL turut memaklumkan pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut dan mengambil keterangan daripada semua anggota yang terlibat.

Sekiranya perlu, penambahbaikan SOP akan dipertimbangkan bagi memastikan penguatkuasaan berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini pada masa hadapan.

SITI AISHAH MD ISA