fb fb fb fb fb

Jualan Rahmah Arau: Daging tempatan RM18, ayam serendah RM9

Sebanyak enam ekor lembu disembelih, menghasilkan lebih satu tan metrik daging segar untuk Jualan Rahmah Arau

ARAU, 29 Mac- Seramai 3,000 penduduk Perlis tidak melepaskan peluang membeli daging tempatan pada harga serendah RM18 sekilogram dalam program Jualan Rahmah UMNO Arau (JUARA) yang berlangsung di pekarangan Pejabat UMNO Bahagian Arau.

Sebanyak enam ekor lembu disembelih, menghasilkan lebih satu tan metrik daging segar untuk jualan. Selain itu, sebanyak 1,500 ekor ayam turut dijual pada harga antara RM9 hingga RM15 seekor, bergantung kepada saiz.

Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abd Rahman, berkata inisiatif tersebut bertujuan membantu rakyat, khususnya golongan B40, mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah sempena Aidilfitri.

"Dalam keadaan ramai yang merungut mengenai kos sara hidup, inilah yang memberi inspirasi kepada UMNO Bahagian Arau dan juga Perlis untuk menganjurkan program seperti ini. Sekurang-kurangnya, kita dapat meringankan beban mereka yang memerlukan bagi meraikan hari yang kita tunggu iaitu Aidilfitri yang akan datang," katanya kepada media selepas meninjau program berkenaan di Kampung Che 'OK', Tambung Tulang.

Datuk Rozabil, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, menambah susulan sambutan yang menggalakkan, pihaknya bercadang meneruskan inisiatif ini pada masa akan datang bagi membantu lebih ramai golongan yang memerlukan.

Katanya, program akan diperluaskan dengan menawarkan lebih banyak barangan keperluan asas pada harga mampu milik.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE