GUA MUSANG, 29 Mac- Para perantau yang pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri di Kelantan terpaksa mengharungi kesesakan perjalanan lebih 10 jam dari Kuala Lumpur ke Gua Musang hari ini.
Beberapa lokasi mengalami kesesakan teruk dengan kenderaan bergerak perlahan antaranya di Plaza Tol Gombak, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan Tol Bentong.
Seorang perantau, Nur Anis Dzahri berkata perjalanan dari Bentong ke Gombak mengalami kesesakan luar biasa sehingga kenderaan tidak bergerak langsung.
"Perjalanan selepas Bentong sudah mula sesak, terutama di Gombak. Suami saya mengambil laluan ke Gombak lama, tetapi keadaan trafik kali ini luar biasa kerana kenderaan langsung tidak bergerak.
"Kami sudah bersedia dengan perjalanan jauh, tetapi perjalanan pulang ke Kelantan kali ini benar-benar mencabar, rasa seperti nak patah tulang pinggang," luah Nur Anis.
Mohd Adnan Mat Lazim pula memaklumkan kesesakan bermula sejak Batu Caves, dengan aliran trafik perlahan di laluan lama Bentong sebelum kembali sesak di susur keluar ke Raub.
"Saya memulakan perjalanan dari Batu Caves, dan keadaan trafik di Karak sesak. Saya cuba menggunakan laluan lama Bentong, tetapi pergerakan kenderaan tetap perlahan walaupun tidak terlalu sesak.
"Setelah memasuki lebuh raya berhampiran Mempaga, keadaan kembali lancar seketika, namun selepas susur keluar ke Raub, kesesakan berlaku semula. Aliran trafik sangat perlahan sehingga ke Gua Musang, dengan kelajuan sekitar 30 hingga 40 kilometer sejam," kongsi Mohd Adnan.
Sementara itu, Mohammad Hassan Nawwar Mohammad menyarankan pengguna jalan raya memulakan perjalanan lebih awal dan mengambil rehat secukupnya bagi mengelakkan keletihan.
"Kenderaan bergerak sangat perlahan. Trafik sesak di kedua-dua arah, menyebabkan pergerakan kenderaan tidak lancar. Sebaiknya, pemandu merancang perjalanan lebih awal dan memastikan mereka cukup rehat.
"Saya cadangkan berhenti seketika selepas berbuka untuk minum kopi agar lebih segar dan tidak mengantuk. Jika terlalu letih, lebih baik berehat terlebih dahulu kerana kesesakan pasti berlaku," kata Mohammad Hassan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Penguasa Polis (SP) Sik Choon Foo memaklumkan berlaku peningkatan jumlah kenderaan hari ini berbanding semalam, namun aliran trafik masih terkawal.
Kesesakan dilaporkan berlaku di pintu masuk Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di Kampung Mentara.
Jelas Foo, anggota trafik telah ditugaskan untuk melakukan pemantauan bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya.