fb fb fb fb fb

Peningkatan had pengeluaran KWSP RM10,000 bantu umat Islam tunai haji

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Peningkatan had pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 bagi tujuan menunaikan ibadat haji menarik perhatian rakyat Malaysia dan menerima reaksi yang positif.

Inisiatif itu dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan dalam membantu umat Islam menunaikan rukun Islam kelima.

Guru, Norsyah Siti Aisyah Awang berkata peningkatan itu akan memberi peluang kepada lebih ramai umat Islam untuk menunaikan haji tanpa membebankan kewangan keluarga.

"Pada pandangan saya, kenaikan had pengeluaran KWSP kepada RM10,000 dapat membantu umat Islam menunaikan haji, serta memberi lebih banyak peluang kepada mereka untuk melaksanakan ibadat tersebut," katanya kepada RTM di sini.

Pandangan itu turut disokong oleh pegawai bank, Nurul Ain Othman, yang menyifatkannya sebagai sesuatu yang sangat bermakna kerana KWSP merupakan salah satu sumber kewangan yang boleh digunakan untuk tujuan kebaikan seperti menunaikan ibadat haji.

"Saya rasa ini adalah satu langkah yang sangat baik kerana ia merupakan salah satu sumber kewangan yang boleh dimanfaatkan daripada KWSP. Umat Islam pastinya amat menghargai inisiatif ini untuk menunaikan ibadat haji. Jadi, bagi saya, ia memang sangat bermakna," katanya.

Sementara itu, pengurus operasi, Mohd Firdaus Fazir menyambut baik inisiatif terbabit kerana ia dapat membantu terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah.

"Sebagai rakyat Malaysia dan umat Islam, terutama golongan B40 dan sederhana yang mungkin sukar menabung dalam jumlah besar, inisiatif penambahan RM10,000 ini sangat bagus. Ia memberi peluang kepada golongan Islam untuk menunaikan haji dengan lebih mudah. Saya menyambut baik usaha ini," katanya.

Penolong Kurator Muzium Negara, Syahrizul Amin Ahmad pula berkata bahawa peningkatan had pengeluaran KWSP untuk menunaikan haji adalah wajar kerana menunaikan haji merupakan kewajipan bagi umat Islam yang berkemampuan.

"Saya rasa ini adalah satu inisiatif yang patut kita sambut baik kerana daripada menggunakan simpanan untuk perkara yang kurang bermanfaat, adalah lebih baik ia digunakan untuk menunaikan haji satu kewajipan bagi umat Islam yang berkemampuan," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan had pengeluaran KWSP untuk menunaikan ibadat haji akan ditingkatkan kepada RM10,000, berbanding RM3,000 sebelum ini, dalam pembentangan Belanjawan 2026.

Beliau juga menyatakan kemudahan pengeluaran awal bagi gantian cuti rehat (CGR) kepada penjawat awam akan diperluaskan khusus untuk tujuan menunaikan haji.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM